Santai

Neelofa tak gentar cerca Israel di laman sosial

Neelofa juga tidak kisah menggunakan bahasa yang dianggap kasar untuk mengecam kekejaman pemimpin negara terbabit di media sosialnya.

PUTRAJAYA 20 Okt – Neelofa tidak gentar dan takut untuk mencemuh tindakan pengganas Israel yang berleluasa membunuh rakyat Palestin.

Dia juga tidak kisah menggunakan bahasa yang dianggap kasar untuk mengecam kekejaman pemimpin negara terbabit di media sosialnya.

“Saya memang sangat terkesan. Jadi pemimpin dan tentera Zionis ini memang layak menerima kecaman kerana perbuatan mereka yang tidak berperikemanusiaan.

“Ada pihak mengatakan bahasa yang saya gunakan di kapsyen itu agak kasar. Sebelum saya muat naik sebarang hantaran, saya akan kongsi dulu kepada suami.

“Jawapan suami, secara umumnya, pemimpin Israel ini darahnya halal untuk dibunuh oleh orang-orang mukmin. Mereka memang layak menerima cercaan malah lebih dari itu lagi,” katanya ditemui pada sidang media majlis pelancaran produk minuman Sharop Drink yang berlangsung di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini. Sharop Drink adalah satu projek kerjasama di antara Nunha Co dan Lembaran Yadim Sdn Bhd.

Turut hadir suaminya Haris Ismail selaku Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Nunha Co; Pengerusi Lembaran Yadim Sdn Bhd, Prof Madya Dr. Adi Anuar Azmin; Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Muhamad Razak Idris dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo.

Neelofa juga menegur dan mengingatkan figura-figura beragama Islam yang takut bersuara agar lebih terbuka menyokong perjuangan rakyat Palestine.

“Ketika anda sedang takut ini, ada orang bukan Islam di luar negara yang akan bersuara dan menyokong perkara yang anda takutkan ini.

“Sebagai muslim yang beriman dan faham dengan kepercayaan kepada hari akhirat, kita kena faham dulu kenapa Palestin ini perlu dipertahankan dan apa istimewanya Majid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

“Kalau ada yang takut atau tak berani untuk bersuara, mungkin mereka kurang kefahaman mengenai ilmu itu,” katanya.

Neelofa mengambil contoh dirinya sendiri yang melalui perubahan dari fasa tidak bertudung kepada bertudung dan seterusnya berhijab, namun tetap mempunyai rezeki.

“Perkara itu juga boleh menyebabkan saya hilang macam-macam tapi sehingga saat ini Allah masih memberikan rezeki.

“Satu benda yang kita kena sedar sebagai orang Islam yang beriman, yang faham tentang percayanya Hari Akhirat dan Hari Kiamat yang akan tiba.

“Semua kena faham dulu kenapa Palestin, kenapa Tanah Suci ini perlu dipertahankan. Apa istimewanya Masjid Al Aqsa?

“Bukan saja dari orang Islam di Malaysia tapi orang Islam di Amerika dan Eropah sendiri pun menunjukkan semangat dan bersuara untuk Palestin,” katanya.

Neelofa adalah antara selebriti yang lantang bersuara mengecam tindakan tentera Israel di bumi Palestin.

Bahkan, Neelofa juga berani memuat naik foto Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan menyifatkan pemimpin terbabit sebagai penjenayah perang. – Harian Metro

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button