(VIDEO) Sekawan lembu meluru keluar simpang tak sempat elak kereta, dua ekor mati dirempuh
Kenderaan berkenaan tidak sempat mengelak daripada melanggar haiwan tersebut yang keluar dengan mengejut.

KUALA LUMPUR 20 Julai – Satu kemalangan berlaku membabitkan sebuah kenderaan dan sekawan lembu yang keluar secara tiba-tiba melalui simpang untuk melintas jalan.
Insiden tersebut tular sejak pagi tadi selepas dimuat naik pengguna laman sosial di Facebook Dashcam Owners Malaysia.
Video kejadian yang dirakam melalui kamera papan pemuka kenderaan (Dashcam) itu membuktikan kenderaan berkenaan tidak sempat mengelak daripada melanggar haiwan tersebut yang keluar dengan mengejut.
View this post on Instagram
Difahamkan, dua ekor lembu yang terbabit dalam kemalangan tersebut mati manakala pemandu dan penumpang kenderaan terbabit terselamat.
Tarikh dan masa dipaparkan dalam video terbabit menunjukkan insiden itu dirakam berlaku pada semalam sekitar pukul 4.50 petang, namun lokasi kejadian tidak dapat dikenal pasti.
Dalam pada itu, warganet yang menyaksikan rakaman kejadian itu rata-ratanya menyalahkan pemilik lembu berkenaan yang tidak prihatin dengan keadaan trafik di kawasan berkenaan.
Selain itu, ada juga warganet yang berpengalamam tinggal di kawasan kampung berkongsi punca kebiasaannya kejadian berkenaan adalah disebabkan pemilik menghalau lembu tersebut sehingga menyebabkan haiwan berkenaan berlari dengan pantas ke jalan secara tiba-tiba.
“Kus semangat..kalau aku pun mesti panik kalau tiba-tiba lembu datang terjah macam ni. Tapi kesian la dua ekor yang kena langgar tu. Ni mesti tuan lembu sergah dari belakang ni,” kata Sarafina Aswad.
“Adik aku pernah kena macam ni, tuan lembu halau, adik aku brek tekan habis dah, nak elak lori tawakal je. Mujur kereta berhenti betul-betul dekat lembu tu. Tuan lembu cepat-cepat jalan,” kongsi Ren Mdm.
” Naya ke org… Ni pemilik lembu-lembu ni mesti tak mengaku lembu dia yg jadi punca kemalangan. Cuba kalau ada org curi lembu-lembu dia, mengamuk sakan sampai bakar kereta mcm kat Kemaman dulu tu…,” komen Mirz. — Xklusif